‘Privacy’: Abam Tak Mahu Tayang Isteri Di Media Sosial

12 Disember 2017. 10.52 AM

Pelawak popular Abam (Bocey) memberitahu tidak mahu menonjolkan isteri, Siti Norhidayah Mohd Ali terutama di media sosial kerana baginya, wanita kesayangannya itu adalah privacy.

Abam berkata, dia lebih selesa Hidayah menjalani kehidupan seperti isteri -isteri lain di luar sana tanpa perlu didedahkan kepada umum.

“Saya lebih selesa jika kehidupan kami suami isteri tidak dikongsi secara terbuka. Lagipun saya yang bekerja dalam bidang ini, bukan isteri.

“Kalau boleh, saya tidak mahu libatkan isteri langsung dengan kerja saya. Biarlah dia jalani kehidupan seperti biasa.

“Bagi saya, isteri saya adalah privacy saya, tetapi itu tidak bermakna saya akan sorokkan dia atau tak bagi keluar rumah,” katanya ketawa.

Tambah Abam, tidak semestinya kebahagiaan rumah tangga seseorang itu perlu dikongsi di media sosial.

“Saya ambil contoh Datuk Rosyam Nor, beliau tidak mendedahkan kehidupan keluarga kepada umum dan akan berkongsi mengenai kerjaya sahaja.

“Saya mahu begitu. Kebahagiaan tidak diukur melalui media sosial,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan bulan madu, Abam memberitahu dia sudah merancang untuk membawa isterinya ke sebuah lokasi cuma bukan dalam masa terdekat.

“Perancangan itu ada tetapi bukan dalam masa terdekat kerana saya terikat dengan beberapa projek dan sibuk sedikit.

“Insha Allah, jika tiada aral melintang selepas resepsi saya pada 20 Januari nanti kami akan cari masa berbulan madu,” katanya.

Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 29, bergelar suami kepada Siti Norhidayah Mohd Ali, 25, dengan sekali lafaz, pada 8 Disember lalu.

Foto: Instagram

Senyuman Abam Buat Hidayah ‘Cair’

Senyuman Abam Buat Hidayah ‘Cair’

Isteri Abam (Bocey), Siti Norhidayah Mohd Ali, 25, mengakui senyuman pelawak tersebut membuka hatinya untuk mengenali suaminya itu dengan lebih dekat.

Mengenali Abam sebelum lelaki tersebut bergelar artis, Siti Norhidayah atau Hidayah berkata, perkenalan mereka bermula di laman sosial Facebook (FB).

“Saya kenal Abam di FB dan kami berkawan biasa dan saya sendiri tidak sangka dia akan bergelar artis seperti hari ini.

“Kami tak keluar ‘dating’ hanya berhubung di FB dan telefon. Pertama kali berjumpa ialah ketika Abam menyertai program Raja Lawak 6,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Hidayah, dia tahu ada segelintir netizen melemparkan komen negatif terhadap dirinya di laman sosial.

Namun, dia mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan tohmahan tersebut.

“Abam ada pesan, kalau tengok media sosial, tak payah baca komen sebab nanti sakit hati.

“Tak apalah, mulut tempayan boleh ditutup mulut manusia kita tak boleh nak ‘control’. Apa-apa pun saya tak simpan dalam hati,” ujarnya.

Hidayah sah bergelar isteri kepada Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 29, dengan sekali lafaz tepat pukul 3.30 petang, 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.

Pasangan suami isteri itu dinikahkan Ustaz Kamal Salam, Penolong Pendaftar Nikah Sabak Bernam, berwakil walikan bapa pengantin perempuan Mohd Ali Bahtin.

Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000 berserta 9 dulang hantaran dibalas 11 oleh pihak perempuan dengan wang hantaran berjumlah RM13,888.

sumber dari astrogempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *